Mewujudkan kepentingan akses saksama kepada pendidikan, sains, budaya




Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid

 





BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 23 April. - Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH menganjurkan Sidang Kemuncak The 7th SEAMEO Centres Policy Research Network (CPRN) 2024 selama tiga hari bermula hari ini bertempat di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

 

Sidang Kemuncak CRPN 2024 mengumpulkan pembuat dasar, penyelidik, pendidik, dan pihak berkepentingan daripada pelbagai negara termasuk Negara Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Filipina, Thailand, Vietnam, Bhutan, Jepun, Hong Kong, dan Finland untuk membincangkan topik penting dalam penyelidikan dasar di bawah tema 'Mengambil Inklusiviti dalam Pendidikan, Sains, dan Kebudayaan' (Embracing Inclusivity in Education, Science, and Culture).

 

Sidang kemuncak berkenaan dirasmikan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh selaku tetamu kehormat.

 

Juga hadir, Pengarah Sekretariat SEAMEO, Datuk Dr. Habibah Abdul Rahim; Duta Besar dan Pesuruhjaya Tinggi Negara-negara Ahli SEAMEO dan Negara-negara Ahli Bersekutu ke NBD; Setiausaha Tetap; Pengarah; Timbalan Pengarah; para pegawai SEAMEO VOCTECH dan wakil-wakil daripada pelbagai kementerian dan institusi.

 

Sidang Kemuncak CPRN mendapat sokongan daripada Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH termasuk kementerian-kementerian dan rakan kongsi yang terlibat dalam menjayakan acara berkenaan.

 

Antara penyampai ucaptama ialah Setiausaha Tetap di MTIC, Ir. Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof, yang membentangkan tajuk 'Sains Inklusif untuk Kemajuan Serantau' yang telah diselitkan ke dalam salah satu tema utama sidang kemuncak.

 

Sebagai kemajuan Asia Tenggara, Sidang Kemuncak CPRN 2024 turut menekankan kepentingan  akses yang saksama kepada pendidikan berkualiti, sains, dan budaya, tanpa mengira latar belakang individu, jantina, etnik, dan lain-lain.

 

Sebagai hasil daripada dialog berkenaan dan rangkaian penyelidikan dasar, dihasratkan hasil yang dikemukakan akan merangkumi saranan pembangunan dasar, sokongan bagi usaha penyelidikan yang berterusan dan penyebaran hasil kajian daripada kertas-kertas yang telah dihantar.


Close